.breadcrumbs{ padding:5px 5px 5px 0; margin:0;font-size:90%; line-height:1.4em; border-bottom:1px dotted #ccc}

Berjaya Bersama

Berjaya Bersama

Friday, February 3, 2017

8 Perkara Anda Perlu Tahu Sebelum Beli Takaful


1. Periksa kesahihan ejen insurans dan keperluan insurans / takaful anda
Sebelum membuat keputusan membeli insurans / takaful, anda perlu memastikan ejen tersebut berdaftar dengan syarikat insurans / pengendali takaful yang berkenaan. Berbincang dengan ejen insurans / takaful agar ejen tersebut boleh membantu anda menilai keperluan insurans / takaful anda dan memberikan anda maklumat mengenai polisi-polisi yang ditawarkan.

2. Kepentingan pendedahan maklumat diri anda
Anda mestilah memberikan semua fakta dalam borang permohonan anda sepenuhnya, dan secara jujur terutamanya maklumat tentang tahap kesihatan anda dan sejarah perubatan anda yang lepas. Sekiranya ejen anda mengisikan borang permohonan untuk anda, baca dan fahamilah keperluan dalam borang tersebut dengan teliti sebelum anda menandatangani borang berkenaan. Jika tidak, polisi insurans hayat / takaful keluarga anda mungkin boleh terbatal

3. Tentukan berapa banyak perlindungan yang diperlukan
Sekiranya anda sebagai ketua keluarga, keperluan anda untuk mengambil insurans / takaful sangat penting. Musibah tidak dijangka dan boleh menimbulkan masalah kewangan kepada tanggungan anda, seperti isteri dan anak-anak yang masih kecil. Persoalannya, berapa banyak perlindungan yang anda perlukan? Anda perlu membuat keputusan berdasarkan pendapatan dan kemampuan anda untuk membayar. Pastikan juga insurans hayat / takaful keluarga yang dibeli mencukupi untuk menampung beban kewangan sekiranya berlaku kematian yang tidak dijangka atau sebelum waktunya.

4. Menilai polisi semasa insurans hayat / takaful keluarga anda
Jika anda sudah mempunyai polisi insurans hayat / takaful keluarga, sebaiknya jangan membatalkannya sehingga anda menerima polisi yang baru. Anda mempunyai tempoh minimum untuk mengkaji semula polisi baru anda. Setiap kali anda memperbaharui polisi insurans/ takaful, premium / sumbangan yang akan dicaj mungkin lebih tinggi. Anda boleh bertanya tentang kesan pada premium / sumbangan jika anda terus memperbaharui polisi. Tanyakan juga, adakah anda akan kehilangan hak untuk memperbaharui polisi pada umur tertentu. Hal ini adalah untuk mengetahui apa yang akan terjadi sekiranya anda perlu menukar polisi. Buatlah keputusan yang terbaik. Anda tidak semestinya perlu membatalkan polisi semasa. Anda mungkin perlu menukar polisi bagi mendapatkan perlindungan dan faedah yang lebih sesuai untuk diri anda dan keluarga.

5. Bandingkan pelbagai jenis polisi insurans / takaful
Sebelum anda membeli polisi, anda perlu membuat perbandingan polisi-polisi yang boleh memberi perlindungan terbaik mengikut bajet anda. Anda boleh mendapatkan maklumat daripada ejen yang berbeza, buat keputusan kenapa anda perlu memilih polisi mereka dan bukan yang lain. Dengan cara ini, anda belajar meneliti pelbagai jenis polisi insurans / takaful.

6. Pastikan anda mampu membayar bayaran premium / sumbangan
Sebelum membeli polisi insurans hayat / takaful keluarga, pastikan bahawa anda boleh membayar premium / sumbangan yang dibeli. Berikut adalah peruntukan penting dalam polisi insurans hayat / takaful keluarga:-

a) Insurans Hayat 

Bagi bayaran premium bulanan, tempoh tangguh selepas tamat tarikh bayaran premium ialah 15 hari. Bagi bayaran premium secara setengah-tahunan atau tahunan, tempoh tangguhnya ialah 30 hari. Sekiranya premium / sumbangan masih tidak dibayar pada tempoh tangguh, polisi anda akan luput atau akan tertakluk kepada polisi berbayar kurang atau pinjaman premium automatik.
Berbayar terkurang – Anda boleh berhenti membayar premium seterusnya selepas polisi anda mempunyai nilai tunai. Polisi itu akan terus berkuat kuasa tetapi nilai diinsuranskannya akan dikurangkan.
Pinjaman premium automatik – Sekiranya premium tidak dibayar pada tempoh tangguh, dan dengan syarat bahawa polisi anda mempunyai nilai tunai yang mencukupi, sesetengah syarikat insurans akan secara automatik memberikan pinjaman untuk pembayaran premium yang tertunggak. Faedah akan dikenakan ke atas amaun pinjaman premium yang tertunggak. Pinjaman premium automatik akan mengurangkan nilai tunai polisi anda.

b) Takaful Keluarga 

Tempoh tangguh – anda dibenarkan tempoh tangguh selama 30 hari untuk menjelaskan bayaran ansurans caruman takaful. Jika anda meninggal dunia semasa tempoh tangguh, ansurans caruman takaful yang belum jelaskan akan ditolak daripada jumlah manfaat takaful anda.

7. Dapatkan bantuan ejen insurans / takaful untuk menilai polisi masa hadapan anda
Anda perlu mendapatkan bantuan ejen untuk mengenal pasti dan menilai polisi anda pada masa hadapan. Contohnya, perkembangan nilai polisi tunai, secara bulanan, tahunan dan pada masa-masa akan datang. Polisi-polisi insurans / takaful mempunyai nilai tunai yang agak stabil sepanjang tahun. Tanya kepada ejen anda untuk paparan tahun ke tahun tentang nilai dan manfaat polisi anda. Sebagai pelanggan, anda berhak bertanya tentang perkaraperkara seperti berikut:-

• Adakah premium atau faedah yang diperoleh berbeza dari tahun ke tahun?
• Berapa banyak faedah yang terkumpul di dalam polisi ini?
• Apakah sebahagian daripada premium / sumbangan atau manfaat yang tidak dijamin?

Semua persoalan di atas dinyatakan dalam polisi anda. Anda boleh bertanya kepada ejen untuk membantu anda memahami perkara yang tidak jelas.

8. Menyemak polisi insurans hayat / takaful keluarga anda setiap tahun
Bagaimana inflasi akan memberi kesan kepada keperluan masa hadapan anda? Adakah anda memerlukan lebih insurans / takaful apabila saiz keluarga anda meningkat? Anda perlu mengkaji semula polisi dengan ejen anda setiap tahun untuk mengikut perkembangan dengan perubahan dalam pendapatan dan keperluan anda.
Akhir sekali, berhati-hati apabila membeli insurans / takaful daripada ejen-ejen yang tidak diiktiraf atau ejen tidak berlesen. Pastikan premium / sumbangan dibayar kepada syarikat insurans / pengendali takaful. Pastikan cek atau kiriman wang yang perlu dibayar kepada syarikat insurans / pengendali takaful dan bukan kepada ejen insurans. Dapatkan resit selepas membuat pembayaran sebagai bukti pembayaran. 

Kongsi pengalaman sakit guna Medikal Kad


Amdulillah saya masih diberikan peluang untuk meneruskan hidup di dunia ini. Syukur kerana Allah telah menggerakkan hati saya pada 2012, 3 tahun sebelumnya untuk mengambil pelan insuran nyawa, perubatan dan simpanan sebagai Plan B sekiranya berlaku musibah pada saya.
Pada awal tu rasa rugi ambil insuran ni, badan sihat, tiada tanda sakit apa-apa, bayar bulan-bulan untuk melindungi sesuatu yang tak pasti. Begitulah saya, ralat juga nak keluarkan duit hampir 10% dari gaji bulanan saya atau RM170 untuk bayaran bulanan insuran. Ruginya... Duit tu boleh guna untuk belanja lain.
Tiba-tiba duk dalam sihat tu, 2015 saya sakit. Anda rasa, adakah saya sudah tahu atau boleh jangka saya akan sakit 2015, jadi sebab tu saya ambil insuran pada 2012 dulu? Sudah tentu tidak.
Rupanya rasa sakit pinggang, sakit sendi saya pada sebelum ni adalah signal pada sakit ni. Ingatkan hanya sakit biasa, rupanya sakit tidak biasa. Rawatan di Putrajaya tidak menampakkan hasil yang diingini, saya dirujuk ke KPJ Kajang. Sejuk kaki tangan sebenarnya pergi ke hospital swasta ni kan, pengalaman pertama di swasta, biasa hanya hospital kerajaan. Macam-macam soalan saya tanya pada ejen insuran saya sebelum jumpa doktor.. bagaimana dan bagaimana.... bukan apa, takut jika sakit ni tidak layak cover oleh insuran. Alhamdulillah ejen insuran saya sangat bertanggungjawab. 1 1 soalan saya dijawab dengan baik dan saya faham. Rupanya kalau kita nak masuk hospital guna medical card, tak perlu pun ejen insuran duduk sebelah kita masa tu. Ada caranya.
Doktor KPJ Kajang suspek saya mempunyai Blood Vessel Tumor (Hemangioma) di bahagian pinggul kiri. Namun, KPJ Kajang tidak ada kepakaran untuk sakit seperti ini. Saya dinasihatkan untuk jumpa Dato’ Dr. Zulkarnain di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Jalan Ampang. Saya set appoinment jumpa, dan berterus terang nak guna medical card Great Eastern Takaful untuk rawatan. Alhamdulillah, lepas beliau buat permohonan Guarantee Letter (GL) ke Great Eastern Takaful, dalam 1 jam sahaja, sms masuk dalam handphone bagitahu GL dah keluar. Alhamdulillah... Ingat lagi hari tu baru 3 Ramadhan 1436H. Saya admitted 22 Jun 2015 jam 3.33pm.
Dipendekkan cerita, saya masuk wad 20 hari, macam-macam ujian kena buat, masuk sahaja hari pertama, MRI terus dan lain-lain prosedur. 2 kali operation, minor dan major. Sampel kena ambil dari tempat yang sakit untuk ujian makmal kanser, tibi dan lain-lain. Alhamdulillah, keputusan makmal kanser negatif. 7 hari saya di wad, bil semasa saya adalah RM28,478.42. Bil ni hanya proses diagnose sahaja ok, belum buat prosedur rawatan lagi.
Ok kejap, saya nak kongsi tips untuk anda wajib tahu bila kena masuk wad, apa dia? Ya, HAD TAHUNAN MEDICAL CARD ANDA. Kalau saya ialah RM90,000 setahun. Jadi, saya kena pantau supaya kos hospital tidak melebihi had tahunan saya.
Sambung cerita, pasukan doktor masih mencari punca sakit saya yang sebenar, tapi masih belum jumpa. Akhirnya, pembedahan major terpaksa dibuat juga untuk buang tumor tersebut, walaupun belum ada penyelesaian yang sesuai sebab ada lagi ujian makmal yang belum keluar. Pengalaman duduk atas katil pembedahan hanya Allah yang tahu..
Hari yang ke 20, saya minta discaj kerana bil saya telah mencecah RM90,000. Luka pembedahan masih lagi baru, namun saya minta untuk sambung rawatan susulan di Hospital Putrajaya. Yang penting, prosedur-prosedur utama telah dibuat.. untuk rawatan susulan cuci luka boleh dibuat di Klinik Luka Presint 8, Putrajaya.
Nak tahu tak berapa final bill saya? RM94,016.50.
Kes saya ni 1000 dalam 1 kerana doktor belum lagi jumpa sakit saya macam ni. Kali pertama saya guna medical card, dan terus guna habis kuota tahunan RM90,000. Sampaikan wakil doktor dan pegawai pengurusan dari Great Eastern datang melawat saya dan bertanya beberapa soalan. Tapi, alhamdulillah, Great Eastern Takaful bagus dapat cover 100% dari kelayakan saya.
Jadi, ada lebihan RM4,016.50 dari had tahunan saya RM90,000 kan. Insuran saya dah tanggung 100% RM90,000 tu, saya bersyukur. Yang seronoknya, saya dapat balik RM2000 lepas discaj dari hospital, boleh cover separuh dari RM4000 tu. Itu kan duit elaun harian masuk wad RM100/sehari. Saya warded 20 hari, dapat la RM2000. Ini kelebihan yang Great Eastern Takaful bagi pada saya, dengan had tahunan yang tinggi RM90,000 + elaun harian wad, tapi bayaran bulanan hanya RM170. Dalam 3 bulan kemudian, Gleaneagles Hospital call saya, katanya nak pulangkan duit diskaun caj hospital RM800 lebih...alhamdulillah.. jadi, duit yang saya keluar hanya RM1200. 1.27% dari total RM94,016.50.
Appoinment dengan Dato’ Doktor Zulkharnain Ismail 2 minggu lepas discaj, saya datang jumpa semula beliau, baru la dapat result satu lagi yang saya juga positif TIBI. Tapi bukan TIBI macam batuk kering tu, saya TIBI Tulang (tidak berjangkit), sebab sample kuman TIBI tu ambil dekat soft tissue dalam pinggul hampir dengan tulang belakang. Jadikan cerita, saya sambung rawatan TIBI di Hospital Putrajaya. Kena makan ubat TIBI setiap hari selama 1 TAHUN. Jumlah MC saya 9 bulan. Alhamdulillah sekarang sudah sembuh.. Baru habis makan ubat TIBI 15 Ogos 2016.
Apakah teladan dari kisah saya?
PERLINDUNGAN INSURAN GREAT EASTERN TAKAFUL SANGAT PENTING PADA SAYA DAN ANDA SEMUA. MANA NAK CARI DUIT TUNAI SERTA MERTA RM90,000 UNTUK BAYAR BIL HOSPITAL SAYA KALAU TAK ADA INSURAN?
SAYA BAYAR INSURAN GREAT EASTERN TAKAFUL NI RM170 SEBULAN SELAMA 3 TAHUN.
RM170 X 12 BULAN = RM2,040
RM2,040 X 3 TAHUN = RM6,120 (KASAR)
BARU RM6,120 SAYA BAYAR UNTUK INSURAN, SEDANGKAN INSURAN DAH BAYAR KOS PERUBATAN SAYA RM90,000. YA ALLAH, SANGAT BERBALOI. RM6,120 TU TAK DISENTUH LANGSUNG KERANA MASUK DALAM SIMPANAN SAYA.
KISAH INI SAYA TULISKAN UNTUK ANDA BACA DAN FAHAMI KESEDARAN BETAPA PENTINGNYA PERLINDUNGAN INSURAN PADA ZAMAN SEKARANG. BANYAK PENYAKIT PELIK-PELIK YANG BOLEH MENGANCAM NYAWA KITA.
MATI ITU PASTI, TAPI USAHA DAN KEPUTUSAN ADALAH DI TANGAN KITA SEBELUM BERSERAH BULAT-BULAT PADA ALLAH SWT.
HARAP PERKONGSIAN SAYA INI BERMANFAAT KEPADA ANDA SEMUA.

Kredit:Mohd Amir bin Zainon Abidin
Bekas pesakit Tumor & TIBI

CAJ RAWATAN GIGI KLINIK KERAJAAN NAIK MENDADAK MULAI 1 FEB 2017


a) Cabutan Gigi
Harga Lama : RM1
Harga Baru : RM15

b) Cuci Gigi
Harga Lama : RM 2
Harga Baru : RM 55

c) Tampalan
Harga Lama : RM2
Harga Baru : RM25
(_Pekeliling berkuatkuasa 1/2/2017_)

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
YBhg. Datuk/Dato'/Datin/Tuan/Puan,
Dengan segala hormatnya saya diarah merujuk kepada surat pemberitahuan daripada Bahagian Kewangan bertarikh 26 Januari 2017 rujukan (24)KKM.400-9/1/3 Jld.2 berkaitan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha (KSU) Bil 4/2017 dan emel Bahagian ini bertarikh 26 Januari 2017 mengenai perkara di atas.

2. Sepertimana sedia maklum, kadar baharu bagi caj perubatan warganegara berdasarkan Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017 akan berkuatkuasa mulai 1 FEBRUARI 2017.

3. Walaubagaimanapun, caj yang melibatkan PERGIGIAN adalah ditangguhkan pelaksanaannya sehingga 1 MAC 2017. Surat pekeliling KSU mengenai pelaksanaan caj pergigian akan dikemukakan kelak. Kerjasama pihak YBhg. Datuk/Dato'/Datin/tuan/puan adalah dimohon untuk memaklumkan perkara ini kepada semua PTJ di bawah seliaan jabatan YBhg. Datuk/Dato'/Datin/tuan/puan masing-masing. Sebarang pertanyaan mengenai perkara ini bolehlah menghubungi Unit Hasil, Bahagian Kewangan, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-8883 2408 / 3063 / 2399 / 3078.

4. Segala kerjasama daripada pihak YBhg. Datuk/Dato'/Datin/tuan/puan dalam perkara ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
Sekian, terima kasih.

Murni Rahayu binti Ahmad Anuar
Bahagian Kewangan
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-8883 3068
Faks : 03-8883 4364

Artikel: Buletinonline.Net


Panduan Ringkas Memilih Kad Perubatan Takaful


Tulisan ini adalah rentetan daripada beberapa persoalan yang paling kerap diajukan berkenaan kad perubatan takaful / insurans, antaranya;

“Apa ‘medical card’ (kad perubatan) paling bagus?”
“Syarikat XYZ mempunyai perlindungan RM 1 juta, tentu lebih bagus daripada kad perubatan Takaful ABCD yang hanya RM500K, bukankah begitu?”
kad perubatan terbaik
“Apa beza kad perubatan stand alone dengan kad perubatan sebagai rider?”

Secara umumnya, untuk membuat perbandingan kad perubatan, perlu dibuat perbandingan terhadap dua perkara iaitu faktor produk dan faktor pelanggan.
Dengan perbandingan adil “apple to apple” perkara ini, barulah kita dapat membuat perbandingan yang adil di antara produk-produk yang ada di pasaran.

Berikut adalah faktor-faktor yang perlu diambil kira dalam perbandingan kad perubatan.

1) Faktor Produk
Jumlah sumbangan – jumlah perlindungan yang sama, tapi jumlah sumbangan premium berbeza.,
Ko-takaful atau tidak – ada produk kad perubatan yang ko-takaful iaitu pelanggan perlu membayar 10% daripada jumlah kos rawatan.
Sebagai rider atau stand alone – kad perubatan sebagi rider dicantumkan dengan produk asas.

2) Faktor Pelanggan
Keperluan pelanggan – adakah perlu perlindungan sehingga RM1juta?
Kemampuan kewangan pelanggan – ada orang yang mampu untuk melanggan RM100 sebulan, ada yang mampu sehingga RM500 sebulan, dan ada juga yang tidak.
Perlindungan sedia ada – perlindungan lain untuk kematian, lumpuh, kemalangan penyakit kritikal perlu turut diambil kira, dan mungkin sudah ada kad perubatan daripada syarikat.
kesihatan menjamin keluarga bahagia

Analogi Kad Perubatan dengan Kereta

Semua faktor ini akan menjadikan perbandingan yang adil. Untuk memudahkan gambaran, kita buat perbandingan Kancil dengan BMW.
Memang tidak dapat dinafikan BMW jauh lebih baik secara zahirnya daripada Kancil, namun dengan mengambil faktor harga kereta, harga insurans, harga cukai jalan, penggunaan petrol, kos penyelenggaraan, dan lain-lain, adalah tidak adil untuk katakan BMW lebih baik daripada Kancil dan ia sesuai untuk semua orang kerana Kancil tetap ada kelebihannya yang tidak ada pada BMW.
BMW ada classnya tersendiri. Ia jauh lebih selesa daripada Kancil. Tetapi padanlah dengan harganya, mungkin boleh membeli 10 ekor kancil! Namun, Kancil pun ada kelasnya yang tersendiri, bukan? Dengan membeli sebuah Kancil, seseorang dapat berjimat 90% daripada membeli BMW yang dapat digunakan untuk membeli keperluan-keperluan lain!
Jadi, kesimpulan awal yang boleh kami buat, tidak semua orang perlukan BMW dan jangan memandang remeh kepada Kancil!

Pertimbangan Memilih Kad Perubatan

Berikut adalah beberapa pertimbangan dan penilaian terhadap produk-produk kad perubatan yang ada di pasaran, tanpa merujuk kepada mana-mana produk dan syarikat secara khusus.

1. Stand Alone vs Rider
Kad perubatan ‘stand alone’ merujuk kepada produk kad perubatan sahaja tanpa sebarang produk lain yang perlu dilanggan bersama. Kad perubatan ‘rider’ pula merujuk kepada kad perubatan yang dipakej bersama produk-produk asas.
Kad perubatan sebagai rider, walaupun lebih mahal berbanding stand alone, tapi harganya setara sehingga tempoh matang, berbanding dengan kad perubatan stand alone yang akan meningkat dalam tempoh umur 5 tahun sekali.
Apabia membandingkan harga kad perubatan rider dengan kad perubatan stand alone, bandingkan harga secara spesifik kad perubatan sahaja dan bukan kad perubatan bersama produk asas suapaya dapat membuat penilaian yang adil.
Sebagai contoh medical card stand alone berharga RM100 dengan kad perubatan rider dengan harga RM200, nampak sekali imbas bahawa kad perubatan stand alone lebih murah. Tapi jika diperincikan, rupa-rupanya kad perubatan rider yang berharga RM200 tadi adalah terdiri dari produk asas RM100 dan produk medical card RM100. Jadi, kedua-dua kad perubatan itu adalah sama harganya. Ini sekadar contoh sahaja.
Memandangkan produk kad perubatan rider dilanggan bersama produk asas, maka apabila produk asas tamat maka kad perubatan juga akan tamat. Sebagai contoh, jika pelanggan lumpuh maka polisi akan tamat, kedua-dua produk asas dan rider kad perubatan.

Berikut beberapa poin penting perbandingan kad perubatan rider dengan stand alone.

Kad Perubatan Stand Alone;

Ciri: Produk kad perubatan tanpa perlu dimbil bersama produk lain.
Kelebihan:
Harganya lebih rendah (kerana tidak perlu diambil bersama plan asas)
Tidak perlu mengambil produk asas
Kekurangan:
Tiada nilai tunai (sebab itu ia lebih rendah harganya)
Jika terlepas bayaran sumbangan / premium, akan luput.

Kad Perubatan Rider

Ciri: Plan kad perubatan yang perlu diambil bersama produk asas. Plan kad perubatan adalah plan tambahan kepada produk asas.

Kelebihan
Mempunyai nilai tunai (sebab itu harganya lebih tinggi berbanding stand alone, dan nilai tunai banyak daripada plan asas)
Boleh diambil bersama tambahan perlindungan lain seperti sakit kritikal dan ‘waiver’ (pelupusan sumbangan apabila berlaku sakit kritikal)
Sekiranya terlepas pandang, ia boleh dibayar dari nilai tunai polisi dengan syarat polisi mempunyai nilai tunai

Kekurangan
Harga menjadi tinggi kerana perlu diambil dengan produk asas
Akan tamat apabila plan asas tamat, sebagai contoh jika pelanggan lumpuh / TPD (Total Permenant Disaility) maka kad perubatan akan turut tamat.
Kesimpulan: Kedua-duanya ada kelebihan masing-masing. Jika mahukan kesemua kelebihan, langgan kedua-dua jenis plan.

NOTA: Kedua-dua caruman sumbangan medical card rider dan stand alone akan meningkat berdasarkan rekod tuntutan syarikat dan keuntungan dana pelaburan.

2. Ko-takaful atau Tidak Ko-takaful

Ko-Takaful merujuk kepada plan kad perubatan yang memerlukan pelanggan membayar sebahagian kecil kos hospital apabila dimasukkan ke hospital. Ia selalunya 10% atau maksima Rm1,000 daripada keseluruhan bil.
Contohnya, jika bil RM1,000, pelanggan perlu membayar RM100, jika bila RM10,000 pelanggan perlu bayar RM1,000. Tapi jika bil hospital RM15,000 pelanggan perlu bayar RM1,000 juga keranai 10% dari RM15,000 melebihi RM1,000 maka pelanggan hanya perlu membayar RM1,000.
Selalunya kad perubatan tanpa ko-takaful , harganya lebih tinggi berbanding kad perubatan dengan ko-takaful dengan plan perlindungan yang sama.
Sebagai contoh, harga bagi kad perubatan tanpa ko-takaful dengan nilai perlindungan RM50,000 setahun adalah RM150, manakala bagi kad perubatan dengan ko-takaful pula adalah RM100 dengan perlindungan yang sama. Sebenarnya, harga yang lebih tinggi dibayar adalah termasuk kos perlindungan tanpa ko-takaful.
Kesimpulan: Setiap perkara yang lebih, ada harga yang perlu dibayar.

3. Perlindungan Tahunan dan Perlindungan Seumur Hidup.

Perlindungan tahunan ialah jumlah bil hospital yang dilindungi oleh syarikat dalam tempoh setahun, manakala perlindungan seumur hidup pula ialah jumlah perlindungan yang dilindungi syarikat dalam tempoh seumur hidup.
Jangan mudah terpengaruh apabila ada perunding yang membuat promosi “Coverage RM1 Juta!’.
Perlindungan RM1,000,000 memang banyak tapi ia adalah untuk perlindungan seumur hidup. Malah ada juga kad perubatan yang meletakkan had seumur hidup sebagai “Unlimited” atau tanpa had.
Nampak hebat tapi ketahuilah bahawa saya berada di dalam industri ini selama 10 tahun, belum ada lagi pelanggan yang sudah membuat tuntutan perubatan sebanyak RM1,000,000 seumur hidup.
Pelanggan yang saya maksudkan ialah pelanggan saya, pelanggan rakan-rakan saya dan rakan-rakan pelanggan saya.
Jika ada yang sudah berjumpa dengan pengguna kad perubatan yang sudah membuat tuntutan seumur hidup sehingga RM1,000,000 boleh bawa beliau berjumpa saya. Mengapa saya berani katakan sedemikian?
Selalunya, bagi kad perubatan sebegini rupa , had tahunannya adalah 10% daripada had seumur hidup. Jika had seumur hidup adalah RM1,000,000 maka had setahun adalah RM100,000.
Secara logiknya, jika seorang pelanggan sudah membuat tuntutan sebanyak RM100,000 maka dia perlu membuat tuntutan selama 10 tahun untuk menghabiskan had keseluruhan RM1,000,000 tadi.
Wujudkah pesakit hospital yang memerlukan kos sebanyak RM100,000 setahun dan sehingga 10 tahun berturut-turut mendapat rawatan yang sama dan masih belum sembuh atau meninggal dunia?
Kesimpulannya, dalam memilih kad perubatan, perkara yang paling penting ialah had tahunan berbanding had seumur hidup. Selalunya, had yang akan tamat dengan segera ialah had tahunan.
Apabila had tahunan sudah mencecah maksima, maka pelanggan perlu membayar kos tambahan pada tahun berkenaan sekalipun had seumur hidup RM100 juta sekalipun!
Jadi, jangan mudah terpengaruh dengan gimik had tahunan RM 1 juta atau RM1 bilion sekalipun kecuali RM 1 juta itu adalah had tahunan kad perubatan. Percayalah, buat masa sekarang, tidak ada syarikat yang berani meletakkan RM 1 juta sebagai had tahunan mereka.
Sumber: Afyan Mat Rawi

Thursday, February 2, 2017

Fungsi Ejen Takaful



Ejen yang merupakan Pengantara Takaful ialah seorang profesional yang menjalankan urus niaga Takaful atau mencari pelanggan berpotensi bagi menyertai kontrak takaful bersama pengendali. Pengantara biasanya dibayar komisen (atau fi pembrokeran untuk broker) bagi setiap pelan yang dipromosikan berdasarkan peratusan caruman yang dibuat oleh pelanggan yang juga dikenali sebagai "peserta".


Fungsi Utama Ejen Takaful

Ejen Takaful Ejen Takaful mewakili Pengendali Takaful dan melaksanakan fungsi-fungsi berikut:

 Mempromosikan produk Takaful bagi pihak Pengendali Takaful

 Menerangkan ciri-ciri pelan Takaful kepada pelanggan yang berpotensi

 Menyediakan perkhidmatan yang berkaitan dengan pengeluaran, pembaharuan atau penerusan mana-mana sijil Takaful

 Ejen Takaful Keluarga mempromosikan produk Takaful Keluarga dan ejen Takaful Am mempromosikan produk Takaful Am


Kewajipan Ejen Takaful

Kontrak agensi antara prinsipal(syarikat) dan ejen biasanya dibuat secara bertulis. Walau bagaimanapun, kontrak ini mungkin juga secara lisan. Ia mengandungi terma-terma dan syarat-syarat berkaitan dengan tingkah laku ejen dan saraan yang perlu dibayar kepada ejen.

Sebahagian daripada tugas-tugas utama ejen Takaful adalah seperti berikut:

 Mempromosikan produk dan perkhidmatan Takaful

 Memberi khidmat nasihat (yang berkaitan dengan produk Takaful) dan sokongan kepada pelanggan

 Mengemukakan cadangan kepada prinsipal seperti yang dikehendaki

 Memberi kesedaran umum mengenai produk dan perkhidmatan Takaful

 Mengekalkan hubungan yang baik dengan pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan

 Mengetahui tentang keadaan pasaran untuk membimbing pelanggan mereka dengan sewajarnya


Hak-hak Ejen Takaful

Ejen itu adalah berhak untuk menerima pembayaran dan bayaran balik.

1. Hak ejen yang paling penting ialah hak untuk menerima pembayaran bagi perkhidmatan beliau, biasanya dalam bentuk komisen atau fi.

2. Ejen juga berhak terhadap bayaran balik wang yang dia telah belanjakan dengan kuasa yang jelas oleh prinsipalnya di dalam had yang dibenarkan.

3. Ejen mempunyai hak melaksanakan tugasnya dengan cara yang difikirkan sesuai. Dia boleh menolak mana-mana cubaan prinsipalnya yang mengawal tindaktanduk dia bekerja

Alhamdulillah, selamat beramal,
sampaikanlah walau satu ayat.


Konsep Takaful


1.Sistem Aqilah
2.Sistem Qasamah
3.Sistem Muwalah.
4.Kontrak Daman dan Kafalah

1.               Sistem Aqilah:

Mengikut sistem ini setiap ahli sama ada ansar atau muhajirin menyediakan tabung kewangan yang dikenali sebagai ‘kunz’.
Tabung ini bertujuan untuk membantu mana-mana ahli yang terlibat dengan pembunuhan tidak sengaja dan membebaskan orang tawanan.

2.               Sistem Qasamah:

Sistem bayaran pampasan kepada keluarga yang terbunuh, yang mana pembunuhnya tidak dapat dikesan oleh kerana kekurangan keterangan, bukti atau saksi.

3.               Sistem Muwalah:

Perkara ini dilakukan kalau A berkata kepada B” Anda menjadi pelindung ( wali) kepada saya, kalau saya melakukan jenayah tidak sengaja, anda hendaklah membayar diat untuk saya. Kalau B bersetuju, maka kontrak mereka sah.
Andainya A melakukan jenayah dan B membayar diat, maka B boleh mewarisi harta A jika ia meninggal, begitulah sebaliknya.



4.          Kontrak Daman dan Kafalah:

Sistem ini merupakan jaminan yang diberikan A kepada B dalam hal-hal yang ada hubungan dengan tanggungjawab sehari-hari. Kontrak ini dikenali dengan berbagai-bagai nama, di antaranya Kafalah, Damanah dan Za’amah.
Sistem yang diperkenalkan oleh Rasulullah saw sebaik sahaja baginda berhijrah ke Madinah dan mempersaudarakan ansar dan muhajirin.





Kaedah yang digunakan dalam mengaplikasikan Sistem Takaful
1.     Al -wakalah - syarikat menjadi wakil/agen yang menguruskan dana pemegang polisi
2.     Al -mudharabah - syarikat menjadi pengusaha dan pemegang polisi sebagai pemodal bagi dana untuk dilaburkan
3.     Al - tabarru`- antara sesama pemegang polisi dan dana terkumpul



Keistimewaan Konsep Takaful

1.     Konsep tolong menolong
2.     Konsep bersama menyertai manakala insurans berkonsepkan jual-beli
3.     Tabarru`/sumbangan berbanding insurans berkonsepkan premium/jual beli
4.     Konsep Mudarabah manakala insurans berkonsepkan faedah
5.     Operasi takaful dikawal Majlis Penasihat Syariah
6.     Sumbangan yg dikumpul adalah kepunyaan peserta manakala dana dalam insurans kepunyaan syarikat


Alhamdulillah, selamat beramal dan berkongsi.



Definisi Takaful


Bahasamasdar dari perkataan ka, fa, la
Istilah :  

“ Suatu akad atau persetujuan di anatara dua pihak iaitu penginsuran  (syarikat) dan yang menginsurankan ( pemegang polisi) ke atas suatu perkara (polisi) dengan cara ( sighah) dan syarat-syarat tertentu”.

“Gabungan anggota masyarakat bagi meringankan beban perseorangan serta menjauhi kerosakan yang menyusahkan”


Takaful ( saling bertanggungjawab) 
  Hadis Nabi:

“ Seorang mukmin dengan mukmin yang lain ( dalam sebuah masyarakat) adalah seumpama sebuah bangunan yang mana tiap-tiap bahagian dalam bangunan itu mengukuhkan bahagian-bahagian yang lain”.

Saling bekerjasama dan membantu
Firman Allah bermaksud:
  “Bekerjasamalah kamu pada perkara-perkara kebajikan dan taqwa dan jangan bekerjasama dalam perkara-perkara dosa dan yang boleh menimbulkan permusuhan.

(al-Maidah 5: 2)
Hadis:

  “ Allah sentiasa menolong hambanya selagi hamba itu menolong saudaranya”
(Bukhari & Muslim)

Saling melindungi
  Memberi perlindungan kepada saudaranya yang ditimpa musibah


Alhamdulillah, selamat beramal dan berkongsi.